Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Hj. Samsudin (gambar) menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung hujung tahun ini. Exco Puteri UMNO Malaysia merangkap Ketua Puteri Umno Melaka itu berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau membuat kajian dan mendapatkan pelbagai pandangan daripada ahli-ahli Puteri dan kepimpinan Umno daripada pelbagai peringkat.
"Sebelum saya membuat keputusan, saya telah berjumpa dahulu dengan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka, Ketua Umno Bahagian, Ketua Umno Cawangan dan saya juga berjumpa dengan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Ketua Puteri Umno Malaysia).
"Apabila saya sudah mendapat pendapat mereka ini, mereka memberikan respon yang baik dan positif barulah saya putuskan untuk bertanding," kata beliau ketika ditemui Malaysian Digest semalam.
Bagaimanapun beliau tidak merasakan kedudukan beliau sebagai ahli Parlimen akan memberi kelebihan kepada beliau sebaliknya menganggap calon-calon lain yang mahu bertanding juga mempunyai yang sama rata.
"Saya melihat calon-calon lain yang mungkin mahu bertanding mempunyai peluang 50-50 dan saya tidak mengatakan peluang saya bertambah baik apabila saya duduk sebagai ahli Parlimen.
"Saya yakin dan percaya seseorang itu mempunyai kelebihan dan kekurangan dan saya akan menggunakan kelebihan saya dan memperbaiki kelemahan saya dalam mencapai matlamat tersebut," kata beliau.
Menurut beliau, kepimpinan Puteri Umno perlu diperkasakan dari sekarang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijangka turut bakal menyaksikan persaingan sengit.
"Saya hendak menyediakan pemimpin-pemimpin Puteri yang boleh kehadapan, berani bercakap dan menjadi ikon kepada orang-orang muda dan bukan sahaja kepada ahli puteri sahaja.
"Kita perlu ramai cerdik pandai diluar sana untuk menyertai Umno dan Barisan Nasional supaya mereka dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam usaha memperkasakan parti dan plattform itu hendaklah kita siapkan daripada sekarang," tegas beliau. Rosnah dijangka melepaskan jawatan ketua sayap Umno tersebut pada pemilihan parti hujung tahun ini.
Rosnah, yang memegang jawatan tersebut sejak 2008, berbuat demikian kerana usianya sudah melepasi had kelayakan jawatan Puteri Umno yang menetapkan umur antara 18 dan 35 tahun sebagai ahli. Pemilihan Umno hujung tahun ini dijangka sengit apabila kelayakan bertanding dipermudahkan dan ia terbuka kepada lebih ramai ahli.
Pindaan Perlembagaan Umno pada 2009 menyaksikan jumlah ahli yang boleh mengundi bagi menentukan pucuk pimpinan tertinggi meningkat kepada kira-kira 150,000 orang berbanding hanya sekitar 2,500 orang pada pemilihan sebelum ini.
Mereka juga akan memilih secara langsung pimpinan bahagian masing-masing, sekali gus menghapuskan sistem kuota yang membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli untuk bertanding dengan syarat minimum bagi mana-mana jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno iaitu pernah memegang jawatan Ahli MT atau ahli jawatankuasa bahagian selama satu penggal.
*** BDJ pernah mengeluarkan artikel mengenai kabinet bayangan UMNO bagi pemilihan UMNO kali ini. Seterusnya KLIK SINI